"Qanaah..."

menyuruh percaya akan adanya kekuasaan melebihi kekuasaan manusia.

menyuruh sabar menerima kekuatan Illahi jika ketentuan itu tidak menyenangkan diri,

dan bersyukur jika diberi nikmat, sebab nikmat itu bila-bila masa boleh hilang.

bekerjalah untuk memenuhi tuntutan hidup seseorang hamba bukan untuk tambahan yang banyak daripadaNya.....

Sunday, September 7

Himmah Yang Tinggi Asas Keperibadian Seorang Pendakwah

Perkataan himmah digunakan untuk membayangkan maksud kehendak untuk mencapai suatu objektif tertentu. Manusia secara psikologinya sentiasa menghendaki sesuatu yang baru. Citarasa dan kehendak yang sentiasa berubah dan baru adalah sifat normal bagi setiap insan. Sebaliknya jika seseorang itu tidak memperbaharui keinginannya atau tidak ada keinginan, dia dianggap sebagai bermasalah dan dia mungkin menghidapi penyakit kemurungan.


Perkataan humum pula membawa maksud satu keadaan seseorang yang pemikiran dan keperihatinannya sibuk dan tertumpu dengan suatu perkara. Bila seseorang itu sibuk berfikir tentang masalah hutang, tidak mempunyai pekerjaan atau persiapan peperiksaan maka perkara itu menjadi humum dia ketika itu. Sudah disebutkan bahawa setiap orang secara normal akan memperbaharui cita-citanya. Apabila dia menghadapi kegagalan dia tidak buntu dan terperangkap dengan humumnya itu. Sebaliknya dia akan mencipta keinginan dan cita-cita baru.
Mukadimah ini membawa kita untuk memahami maksud perkataan yang sering kita dengar dalam ceramah-ceramah iaitu “himmah a’liah” atau himmah yang tinggi. Himmah yang tinggi ialah satu bentuk cita-cita/keinginan atau kehendak yang dikaitkan dengan satu tujuan atau matlamat yang tinggi seperti keredaan Allah, syurga dan melepaskan diri dari neraka, mengembalikan khilafah, amal-amal ke arah mengembirakan manusia sejagat atau sebagainya. Mereka yang menyemat dalam dirinya tekad untuk berkerja ke arah mencapai tujuan tersebut tidak kira berapa lama masa yang diperlukan, berapa kos yang perlu dibayar dan berapa pengorbanan yang perlu dicurahkan. Mereka adalah orang yang memiliki himmah yang tinggi.
Ada pun mereka yang menggantungkan cita-citanya pada tujuan yang hampir, kecil dan remeh seperti menjadi kaya, berjaya dalam profesyen, beristeri cantik, berumah besar, perniagaan besar, disanjung dan sebagainya serta tidak sanggup mengabaikan sedikit keselesaan yang ada, merupakan mereka yang memiliki himmah yang kerdil dan rendah. Disebalik himmah yang kerdil ini ada yang lebih kerdil seperti mereka yang hanya rela dengan apa yang ada dan tidak ada keinginan untuk berubah menjadi lebih baik, apatah lagi melalui kesukaran untuk matlamat yang jauh. Di bawah status ini kita anggap sebagai mereka bermasalah dan mengalami kelesuan atau kemurungan.
Pendakwah hendaklah seorang yang memiliki himmah yang tinggi kerana mereka adalah orang yang menyematkan dalam diri mereka cita-cita untuk merealisasikan matlamat yang tinggi seperti menegakkan kalimah Allah, mengembalikan kehidupan Islam dalam masyarakat, menegakkan khilafah atas manhaj kenabian dan di sebalik itu semua, mereka inginkan keredaan Allah Yang Maha Tinggi. Mereka tidak lemah dengan apa-apa halangan bahkan sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran. Adapun mereka yang mendakwa diri mereka “pendakwah” sedang cita-cita mereka tidak lebih dari sekadar mencapai kedudukan dan kekayaan duniawi atau menikmati kesenangan sementara, jauh sekali mereka itu dari ciri pendakwah yang sebenar.
Persoalannya bolehkah seseorang menjadi pendakwah yang tinggi himmahnya tanpa dia bersedia berkorban mengecapi keselesaan, kerehatan, kesihatan yang diidamkan oleh semua orang. Tentu sekali tidak.
Firman Allah yang bermaksud:
“Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan mengucap kalimah, “kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji?”. (Al-‘Ankabut 29:2)
Jawapan tentunya tidak. Ujian pasti berlaku supaya jelas antara orang yang benar-benar terpilih dari kalangan mereka yang berhimmah tinggi dengan orang yang hatinya hanya bergantung kepada kesenangan yang hampir.
Saya rasa perasaan ingin mempertahankan keselesaan dan kesenangan yang hampir telah menarik sesetengah orang untuk berpada dengan himmah yang rendah dan sederhana, dan menarik diri secara tidak rasmi dari rombongan dakwah yang berjalan menuju Allah.
Allah berfirman maksudnya:
“Apa kena dengan kamu, apabila diseru supaya keluar berjuang, kamu menjadi berat. Adakah kamu telah redha dengan kehidupan dunia yang hampir?”. (At-Taubah 9:38)
“Bahkan kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia sedangkan akhirat lebih baik dan lebih kekal”.(Al-A’laa 87:16-17)
Humum duniawi telah melupakan kita terhadap tanggungjawab membela umat dan tugas jihad memuliakan agama. Jadual harian kita padat dengan aktiviti-aktiviti untuk mencapai tujuan yang hampir, kita tidak ada masa lagi untuk aktiviti ke arah menegakkan matlamat yang lebih jauh, lebih tinggi dan mulia di sisi Allah dan juga manusia.
Orang yang mempunyai himmah yang tinggi, humumnya untuk mencapai cita-cita yang tinggi dan orang yang mempunyai himmah yang rendah humumnya pada perkara-perkara yang rendah juga. Orang yang tidak punyai humum dengan dakwah bermakna sudah jatuh himmahnya dan tergolong dalam golongan orang yang lesu.
artikel asal